Kuih koci antara kuih favourite aku. Dan apabila makan kuih koci ni aku terkenangkan arwah ibu mertua aku yang meninggal dua bulan selepas aku berkahwin, february 2006. Arwahlah yang mengajar aku cara-cara membuat kuih koci sebabnya dia tahu aku memang suka kuih ni. Tetapi yang menjadi mangsa mencari daun pisang, memarut kelapa memasak intinya adalah anak-anaknya dan aku hanya diberi tugas membuat kuih ini sahaja dan selepas siap aku ler orang pertama yang disuruh makan kemudiannya dibungkus untuk dibawa pulang. kata anak-anaknya arwah sangat sayangkan menantu-menantunya. Kasihnya melebihi anak sendiri. Sayangnya aku hanya sempat rapat dan mengenali arwah dua bulan sahaja sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir. ..Tidak sempat beribu mertua...
Sakitnya datang bagaikan ribut, dia mengadu sakit perut pada tengah malam kemudian dimasukkan ke hospital keesokan harinya mujur ketika itu cuti panjang tahun baru cina. Semua anak-anak pulang, termasuk aku yang merancang untuk pulang ke kampung di Perak tetapi terpaksa dibatalkan. Sekelip mata sahaja arwah dalam keadaan tenat, drp hospital Port Dickson kemudian dipindahkan ke hospital Seremban, ketika itu dia cuma menggunakan alat bantuan pernafasan sahaja. Doktor sendiri tidak dapat memutuskan sakitnya. Hanya diberitahu masalah usus. peliknya doktor juga tidak dapat membuat keputusan hanya membiarkan sahaja, dan membuat pelbagai ujian sedangkan arwah semakin lemah. Tidak lagi boleh berbual mata tertutup rapat. Tetapi aku masih ingat terngiang-ngiang di telingaku arwah ibu menyuruh aku pulang ke kampung, katanya kami sudah lama tidak pulang. aku eyakan sahaja.
Selain rawatan moden kami juga berubat cara tradisional, sebagai ikhtiar terakhir. Moga-moga kesakitan berkurangan, jika ada 'mengganggu' moga dijauhkan.
Malam ketiga selepas berubat, diberikan air penawar, arwah menunjukkan sedikit tanda, tangannya mulai bergerak. Suami aku sedikit lega, dan mengharapkan kelegaan itu berpanjangan. Masing-masing menunggu di hospital tidak berganjak termasuk aku. Silih berganti membacakan surah yasin sambil membasahkan muka dan badan arwah dengan air penawar dengan harapan arwah akan sedar dan membukakan mata. sekali sekala aku membasahkan tekaknya dengan air. namun tiada tanda arwah membuka mata. dia diam kaku di katil hanya nafas berombak turun naik di dada.
Ketika aku mengusap-usap tangannya, terasa jari-jemarinya sejuk dan sedikit membengkok. Memang aku pernah terbaca mengenai tanda orang meninggal yang semua anggota tubuhnya akan jatuh. jari tangan, kaki, telinga, hidung dan kening. Adakah ini tandanya??? aku memegang kakinya sejuk, juga jari jemarinya membengkok. Kemudian aku memandang wajahnya ada air mata mengalir menerusi kelopak matanya yang tertutup rapat, sakitkah dia, mulutnya seperti berair, aku terus menyapu dengan sedikit air, " ya allah..kau panjangkan umurnya...atau KAU bawalah dia pergi dgn aman jika itu terbaik baginya, janganlah KAU seksa dia lagi," cuma itu sahaja lafaz di dalam hati. Aku tidak dapat menahan sebak, dan hampir menitiskan air mata. tetapi menahan dalam diam. sambil mengucapkan lafaz, Ashhaduanlailahhaillahlah...' ke telinganya, aku gentar, aku takut...terasa malaikat Izrail di sebelahku bersama sakaratulmaut. Ketika itu anak-anak yang lain sudah tidur penat berjaga sepanjang malam cuma along sahaja di situ.
aku cuba memberitahu kepada along, gerak hati yang mengatakan ibu sudah tiada tetapi tidak sampai hati dan mulut bagai terkunci. Apatah lagi mesin pengukur gerakan jantung masih bergerak ...dan menunjukkan jantungnya masih berdenyut tetapi sgt perlahan. kemudian datang paman pakcik sebelah suamiku dia memegang ibu kemudian mengucapkan lafaz, "innalillah...ibu dah tak ada," katanya
memang anak-anak yang lain masih mengharap, masih berdoa, termasuk juga suamiku. Masih terngiang-ngiang dia berkata, "ibu masih ada..ibu masih ada, ibu belum meninggal..ibu akan sembuh," sedangkan hakikatnya dia sudah tiada pergi tanpa disedari...pergi tanpa sempat mengucapkan sesuatu untuk anak-anaknya. Pergi tanpa sempat menguntum senyum dan pergi tanpa sempat merasai kehangatan ciuman semua. Ketika azan subuh berkumandang doktor mengesahkannya yang ibu sudah tiada. Dia pergi selepas tiga hari sakit dan dia pergi sebelum aku sempat merasai kasih sayangnya.
Kehilangan yang cukup terasa bagi aku apatah lagi anak-anaknya kerana arwah pergi secara tiba-tiba. Hilang sekelip mata. Ibarat hari ini bertemu, bergelak ketawa tetapi esok sudah tiada. Sebulan juga suami ku resah, menangis apabila terkenangkannya, bermimpi menemuinya. Kata suamiku arwah ibunya suka memanjakannya, boleh tidur di atas ribaannya dan disuapkan makanan. Semua kenangan itu amat sukar dilupakan. Tambah pula kubur arwah ayah masih belum kembang kembojanya selepas ayah meninggal dua tahun lalu dan kini ibu menyusul. Pergi takkan kembali.
Walaupun aku sempat bersamanya hanya seketika tetapi aku puas kerana berpeluang menjaganya di hospital sepanjang 3 hari, melihat jenazah dimandikan, dikafan sehingga dibawa ke kubur.
Cuma apabila terpandang kuih koci membuatkan kenangan lama muncul semula, lantas aku teringat kepadanya..
AL FATIHAH moga rohnya dicucuri rahmat AMIN...
2 comments:
sy doakan allahyarhamah ibu mertua awk berada di kalangan org2 yg beriman...amin
doa yg baik2 utk org2 yg baik mcm MIL hang tu..amin
Post a Comment