Entry yang aku petik drp blog friendster bertarikh 27 Oktober 2007:
ABAH lelaki paling aku hormati dan kagumi. Kini usinya hampir melewati penghujung 60-an. Tetapi kudratnya masih kuat boleh lagi ke sawah membawa mesin membajak dan meracun rumput. Kata abah, bosan di rumah jika tidak melakukan semua kerja-kerja itu dia pasti demam. Begitulah aktiviti abah setiap hari mengerjakan sawahnya yang entah berapa ekar.
Abah lebih pendiam berbanding mak, namun dia tegas jika ada tidak berkenan pada pandangannya abah akan berterus terang. Walaupun air mukanya tampak garang namun abah berjiwa lembut dan mudah diajak berbincang. Kini melewati hari-hari tua, abah semakin rapat dengan anak dan cucu-cucunya.
Aktiviti hariannya setiap hari ke masjid mendengar ceramah agama dan mengajar agama kepada jemaah masjid selepas solat maghrib. Dahulu selepas solat maghrib berjamaah abah akan membacakan kitab kepada anak-anaknya. Malam jumaat kami akan membacakan Yasin beramai-ramai diikuti tazkirah.
Sekarang baru aku sedar apa yang abah lakukan memang berkesan sehingga sekarang. Mungkin tidak pada yang lain tetapi berkesan pada aku. Antaranya semakin bertambah usia, keakraban kami adik beradik semakin erat, mungkin berkat bacaan Yasin bersama.
Sudah 3 kali abah menunaikan haji dan hampir 7 kali menunaikan umrah. Tahun ini sekali lagi abah bercita-cita menunaikan umrah bersama mak pada Mei nanti. Setiap kali itu juga hati anak-anak berdetik banyaknya duit abah dan seronokkah abah di sana sehingga pergi setiap tahun? Bukan anak-anak yang memberi duit tetapi duit simpanan abah sendiri. Ya kami bukannya orang senang. Abah hanya mengerjakan sawah padi membesarkan anak-anak seramai 9 orang namun dia mampu hidup senang walaupun tidak kaya.
2 tahun lepas ketika sambutan hari raya aidilfitri kami semua adik beradik seramai 9 orang bersama 3 kakak ipar, 3 abang ipar dan anak buah seramai 17 orang berkumpul bersama. Selepas menunaikan sembahyang maghrib berjamaah abah adakan tazkirah dengan anak-anak. Ini kali pertama abah adakah tazkirah yang aku kira sangat menyentuh hati.
Banyak yang abah perkatakan terutama nasihat kepada anak-anak. Kata abah jangan sesekali tinggal sembahyang kerana sembahyang tiang agama. Gaji setinggi mana sekali pun jika tidak sembahyang pasti hidup tidak berkat. Gaji yang sedikit akan cukup sekiranya bersembahyang lima waktu. Walau sesibuk mana apabila waktu sembahyang tinggalkan semua kerja dan sembahyang.
Kata abah lagi jika dia meninggal dia mahu semua anak-anak lelaki memandi, mengkafan dan menyembahyangkan jenazahnya. Begitu juga mengimamkan jenazah sebaiknya dilakukan oleh abang long ( abang iparku). Jangan sesekali bergaduh adik-beradik, bermuafakat dan tidak berpecah belah.
Kata abah lagi jika dia yang hanya membanting tulang di sawah boleh mengerjakan haji 3 kali dan umrah entah berapa kali dia mahu anak-anaknya lebih daripada itu.
Sungguh sayu kata-kata abah. Aku dan adik beradik lain hampir menitiskan air mata.
Tetapi kenapa abah berkata begitu? Ketika itu aku terfikir sudah sampaikah masa abah pergi meninggalkan anak-anak? Aku belum puas lagi bersama abah. Doaku semoga Tuhan memanjangkan usia abah dan mak dan terus memberikan kesihatan yang baik kepada mereka berdua supaya mereka boleh menunaikan ibadat kepadaMU. AMIN.
Alhamdulilah doaku dimakbulkan selepas dua tahun abah masih sihat dan mampu menunaikan umrah untuk kali kelapan. Aku tahu di sebalik kepergiaannya ke Mekah hampir setiap tahun dia mengharapkan sesuatu. Tiap kali pergi abah akan berkata “MANALAH TAU KOT-KOT NANTI MENINGGAL DI SANA”
Aku terkedu mendengar kata-kata abah. Doaku dalam hati moga Tuhan masih memberikan nafas untuk abah bersama anak-anak. Nasihat abah masih belum cukup begitu juga azimatnya kepada anak-anak sebagai bekalan meneruskan kehidupan masih kami perlukan. Aku sangat menyayangi abah dan mak. Tiap kali selepas sembahyang aku berdoa moga Tuhan memberikan kesihatan yang baik, memanjangkan usia dan memberikan rezeki yang lebih kepada mereka supaya mereka dapat berkunjung ke tempat suci-Mu setiap tahun. Kepada abah, Haji Sahib Haji Abas dan mak, Hajjah Hasiah Man, semoga terus sihat kerana kami sangat sayangkan kalian berdua.
________________________________________________________
Entry hari ni bertarikh 27 April 2010:
Tahun ini 2010, abah pada usia 76 tahun, bersama mak sekali lagi selamat menunaikan umrah bersama kak long dan abang long.
Namun tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, kesihatan abah tidak mengizinkan. 2 hari sebelum pulang dia diserang lelah, demam serta batuk yang teruk. Kesian...ketika mencium tangan abah melihat nafasnya turun naik, sukar sekali dia bernafas sehingga menghasilkan bunyi yang sangat kuat. Akibatnya pada malam itu juga dia dimasukkan ke wad Hospital Selayang untuk rawatan selanjutnya.
kami semua adik beradik berkumpul, kecuali keluarga abang Mie dan adik di Sarawak namun nama mereka tiap kali disebut2 abah terutama adik yg masih belum mendirikan rumahtangga. Nampak sangat dia risau sehingga teringat2 ketika menunaikan umrah. Cepat-cepat la naik pelamin...dik doa kami semua.
kali ini lain sekali sakitnya..biasanya jika lelah menyerang hanya sekali atau dua kali sedut gas lelahnya akan hilang ini memaksa doktor mengambil darah berkali-kali untuk mengesan sama ada terdapat virus lain atau tidak. abah juga sering bercakap yang bukan-bukan, terutama soal mati, malah dia sendiri meminta aku dan suami menghantarnya pulang ke kampung selepas keluar hospital kerana ingin merasa menaiki kereta baru. ya semua keinginan abah kami tunaikan.
Aku lihat keakraban kami adik beradik jg sangat rapat dan semakin rapat. Tanpa mengira anak menantu masing-masing bersatu hati menjaga abah. Semoga keakraban ini akan berkekalan sehingga ke akhir hayat.
Semalam ketika melawat, lelahnya sudah semakin kurang cuma batuknya sahaja masih ada. Mungkin esok atau lusa mungkin abah dibenarkan pulang. Doa kami semoga abah diberi usia yang panjang untuk terus beribadat kepadaMU dan semoga dia diberi kesihatan yang baik. AMIN...
1 comment:
Semoga abah Ct cepat sembuh.Banyakkan berdoa untuk kesejahteraannya.
Post a Comment