Friday, February 11, 2011

ada apa dengan kampung

perbualan cucu dan nenek (pic lama masa Durrani umur 3 tahun)

Ada rakan sepejabat bertanya ke mana saya bercuti seminggu tahun Baru China baru-baru ini. Saya katanya kepadanya, “balik kampung saja, melawat mak dan ayah di kampung.”

Dia bertanya lagi, “ Balik kampung saja tidak ke mana-mana?”Ya memang begitulah saya dan suami apabila tiba cuti panjang yang biasanya disambung bersama cuti public Holiday selepas berhempas pulas bekerja di pejabat, terpaksa diganti dengan hari sabtu kami jadikan balik kampung sebagai medium untuk merehat juga melepaskan segala tekanan serta bebanan kerja di pejabat.

Biasanya cuti panjang ini dihabiskan di rumah saja, biarkan anak-anak dilayan datuk dan nenek, biarkan mereka merasai suasana kampung melihat kucing berlari, mendengar kicauan burung pada waktu pagi atau bermain tanah dan pasir. Biarkan mereka merasai bedanya dengan suasana bandar yang hanya seminggu sekali saja dapat bermain di taman atau pulang ke kampung di Port Dickson namun masih tidak sama kerana di sana juga sudah tiada datuk dan nenek.

Apabila pulang ke kampung suasana yang sangat saya rindui apabila mak bersedia menyediakan makanan yang pastinya jarang didapati di sini.

“Nak makan pulut durian tak?” tanya mak

sudah tentu saya tidak lepaskannya. Kemudian baki pulut itu dicampur ragi lalu dilipat kemas di dalam daun pisang untuk dijadikan tapai.

“Lagi dua hari boleh makan, sempat lagi sebelum balik KL,” kata mak bereya-eya pada hal dulu dia jarang membuat tapai sendiri.

Kemudian apabila tiba makan tengah hari, dia mencari ulam-ulaman pucuk ubi kayu dan jantung pisang dijadikan hidangan. Kemudian ikan keli yang dibeli di pasar dibakar manakala ikan kayu disumbat dengan sambal nyior kepala. Kecur liur apabila dicicih bersama sambal belacan dan disulam ulam-ulaman yang dikutip di belakang rumah. Lebih enak nasi dimakan bersama hidangan air kepala atau cendol.

Ya semua itu pastinya menjadi kerinduan kuat pada saya tatkala lama tidak menjengah mereka di kampung.

Melihat kudrat abah yang semakin hilang sedikit demi sedikit, namun dia masih kuat walaupun usianya bakal mencecah 80 tahun juga mak yang semakin dimamah usia namun masih kuat ke bendang bercucuk tanam membuatkan saya semakin kerap ingin pulang ke kampung. Kalau boleh setiap bulan atau dua bulan sekali namun kejauhan dan jarak yang memakan masa sehingga 400km serta cuti yang agak terhad, membataskannya. Tambah pula apabila Durrani sudah bersekolah tadika perlu memikirkan waktu persekolahannya pula.

Kata suami, “ pulanglah sementara masih ada ibu dan ayah. Jangan jadi seperti dia pulang ke kampung sudah kurang bererti kerana tiada apa yang ingin dicari. Mak dan ayah yang sudah tiada menyebabkan kehidupan tidak bermakna.”

Ya saya akur dan bersetuju dengan katanya. Apa lagi yang ingin dicari seorang anak ketika pulang ke kampung melainkan berjumpa dengan orang tuanya. Memang berbeza sekiranya tiada ibu dan bapa seperti mana keluarga suami yang rumahnya sunyi saja yang tinggal hanya adik-beradik. Itu pun mujur setiap minggu mereka berkumpul di kampung disebabkan masing-masing tinggal di kawasan berdekatan. Bayangkan sekiranya jauh...pasti masing-masing membuat hal sendiri.


7 comments:

Rizziela said...

Memang bestkan dapat balik kampung...dapat jumpa dengan mak & ayah lah saat yg paling menyeronokkan..

♥MAMASYAZA♥ said...

ulam jantung pisang ngan sambal belacan, fuhhhh sedap tu

Izan Ishak said...

betul tu kak...sementara ibubapa masih ada ni lah kita nak boleh jenguk2 selalu kan. kalau dah takde baru menyesal tak guna dah~

**akak, sedihnya tak dpt jumpa akak ptg nih! plus tak dpt muka masuk metro...hikhik...

ckLah @xiiinam said...

ckLah selalu katakan kepada anak-anak...kalau kita balik kampung, bukan untuk kita bercuti dan berehat-rehat. Tapi, kita nak bagi atok dan nenek pula berehat-rehat...dan kita yang layan mereka..sediakan makan minum mereka. Bukan mereka buat untuk kita kerana mereka dah tua dan penat...

Mak Su said...

sy hilang mak ayah tika usia masih ingusan, ayah meninggal masa sy belasan tahun, mak pula ms sy di awal 20an :(

suhida said...

slm kak,
saya da tukar nama blog.nanti jenguk ye.
http://missuhida.blogspot.com/

Yan said...

yan rindu juga sesekali balik kg..
nenek mmg beriya2 masak..
pastu tiap kali balik.. kami mesti pergi pantai..