Monday, March 10, 2014

Kita Milik DIA

 Tabahnya kamu wahai bapa, menitis air mata membacanya. Semoga masih ada harapan untuk kembali melihat anak kesayangannya. Marilah kita sama-sama berdoa moga ada keajaiban daripada Allah, Amin. 

 
Setiap yang berlaku telah ditentukan takdirnya oleh Allah. Walaupun nampak seperti buruk dan tidak menyebelahi nasib seseorang tetapi semua yang dirancang oleh-Nya pasti membawa hikmah yang lebih besar dikemudian hari.
 
Itulah kepercayaan terhadap qada dan qadar yang menjadi pegangan umat Islam.
Bagi Seman Umar, ayah kepada Khairul Amri Seman, salah seorang penumpang MH370 yang masih hilang itu, segalanya diserahkan di tangan takdir. 
 Baik atau buruk keputusannya nanti akan diterima dengan hati yang terbuka oleh lelaki berasal dari Bera, Pahang ini.
 “Kita milik Dia. Pakcik sayang sangat dengan Am, dia anak yang paling Pakcik sayang..bukanlah anak lain Pakcik tak suka tapi Am ni lain. Dia berpendidikan tinggi, paling periang, pandai mengambil hati dan manja, mungkin sebab dia anak bongsu jadi lebih sikitlah manjanya daripada orang lain.
 "Dia selalu balik kampung, selalu telefon Pakcik semua perkara dia nak kongsi malah selalu nak minta pendapat dahulu sebelum membuat keputusan. Tetapi di dalam hal seperti ini (pesawat hilang) kita tahu apa akibatnya, Pakcik sudah bersedia.
 
"Kita kena akur pada qada dan qadar-Nya, kita ni manusia, kita bukannya ada pilihan,” tuturnya tenang semasa bercakap kepada MalaysiaGazette di Hotel Everly di Putrajaya.
Khairul Amri seorang jurutera kapal terbang di Subang sedang dalam perjalanan ke Beijing untuk satu urusan kerja. 
 Menurut Seman, beliau pada mulanya hampir pitam apabila diberitakan pesawat yang dinaiki anaknya hilang kerana Khairul Amri sempat menghubunginya beberapa jam sebelum berlepas.
 “Baru saja bercakap dengan dia, tak sampai berapa jam pun, tiba-tiba Subuh ada orang telefon dan beritahu pesawat tersebut hilang. Rasa macam tengah bermimpi. Memang nak pitam tapi Pakcik kena kuat lah sebab Makcik (isteri beliau, Normah Jaafar) sudah lembik ketika itu.
 "Sekarang pun Pakcik kena buat macam biasa saja walaupun hati tengah berserabut. Kalau Pakcik lemah, macam mana? Tengoklah Makcik tu,” katanya sambil menunjukkan Normah yang sedang menangis sambil ditenangkan oleh ahli keluarga serta petugas MAS yang bertanggung jawab menjaga keluarga Seman.

Biarpun hanya berasal dari kampung, lelaki berusia 60 tahun ini tidak mudah diperkotak-katikkan dengan pelbagai cerita yang tersebar mengenai misteri kehilangan pesawat MH370 yang sudah memasuki hari ketiga.
 Katanya, beliau hanya mempercayai maklumat yang telah disahkan dan disampaikan oleh pihak berkuasa dan petugas-petugas MAS sahaja malah beliau percaya usaha mencari dan menyelamat ini akan berhasil.
 
“Setiap hari Pakcik buka internet, baca macam-macam berita. Buat apa orang luar nak sibuk? Kita bukan ada kepakaran, biar kerajaan buat kerja dia, kita ni berdoa je supaya semua selesai. Kes Air France, berapa lama boleh selesai? Kita bersabar, berdoa dan solat..itu usaha yang kita boleh buat.
 
"Ada pulak yang kata, ini ketulahan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim sebab kejadian berlaku sehari selepas beliau dijatuhkan hukuman. Siapa Anwar Ibrahim tu? Dia ada ilmu ghaib ke sampai apa-apa yang berlaku pada dia, kita pula yang menerima nasib malang?
 
"Pakcik percaya pada Allah dan rencana-Nya. Semuanya sudah ditentukan oleh Dia. Jadi, pada Pakcik, kamu tulislah apa yang nak kamu tulis. Pakcik tetap tidak akan percaya dan tegas pada cara Pakcik.
 
"Perkara dah nak jadi, Am bukan pertama kali naik kapal terbang MAS dah banyak kali sampai tak terkira tetapi sudah ditetapkan bahawa pada tarikh tersebut pesawat yang dia naiki hilang, apa daya kita sebagai manusia untuk menghalang?” katanya lagi.
 
Beliau turut meminta supaya keyboard warriors agar berhati-hati ketika mengeluarkan sebarang pendapat kerana ia akan menghiris hati keluarga penumpang-penumpang pesawat berkenaan.
 
Khairul Amri yang berusia 29 tahun merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik dan mempunyai seorang anak berusia setahun tiga bulan. -- MalaysiaGazette
 
Follow us: @MalaysiaGazette on Twitter | MalaysiaGazette on Facebook

No comments: