Saturday, December 31, 2011

Tahun 2012 untuk muhasabah diri





Hari ni 31 Disember  catatan terakhir di tahun 2011. Esok sudah melangkah ke tahun baru 2012. Pejam celik pejam celik sekejap masa berlalu. Tidak sedar 365 hari berlalu pergi meninggalkan kita. Menambah angka kepada pertambahan usia. Namun kata orang usia hanyalah satu angka yang penting hati sentiasa muda. Namun pertambahan usia juga menandakan kehidupan kita semakin pendek dan dekat dengan kematian. Itulah yang sering saya ingatkan pada diri.


Tahun baru juga sering dikaitkan dengan azam baru. Untuk tahun 2012 tiada azam yang spesifik cuma ingin menjadi khalifah Allah yang lebih baik daripada hari ini. Maklumlah setiap hari sibuk dengan kerja, seringkali kita lupa untuk melakukan amalan secara lebih berkualiti. Menjaga solat, memperbetulkan bacaan, serta memahami maksudnya. Kadang-kadang juga kita melakukan amalan hanya mengangapnya sebagai tanggungjawab saja langsung tiada penghayatan. Jika bersolat sebolehnya mahu cepat saja, kadang-kala sehingga terlupa berdoa. Kemudian menyambung kerja...ohh banyak kerugian di situ.
Itu belum termasuk amalan sunat-sunat lain yang jarang dilakukan. Membaca al-Quran yang kadang-kala dilakukan sekali-sekala saja. Semuanya hanya kerana tiada masa....dan menganggap kerja itu adalah segala-galanya.

Kadang-kala terfikir juga apalah yang akan terjadi sekiranya semua kesenangan terutama kesihatan ditarik balik? adakah kita boleh bekerja dan mencari rezeki seperti biasa? Bagaimana sekiranya dalam amalan yang tidak seberapa itu Tuhan pendekkan usia sebelum sempat tua untuk melakukan amal ibadat. Tidakkah sekali lagi kita berada dalam kerugian.

Justeru dengan kedatangan tahun baru saya ingin memuhasabah diri untuk menjadi khalifah yang lebih baik daripada hari ini. Melakukan amal ibadat dengan sepenuh jiwa, menambah pahala sebanyak mungkin. Selain itu menjalinkan hubungan baik sesama manusia, menjaga mata dan lidah daripada perkara yang tidak sepatutnya, rasa tidak berpuas hati. Membersihkan hati daripada segala kekotoran supaya menjadi insan yang sentiasa bersyukur dengan rahmatnya.

Tahun hadapan juga bakal bertambah ahli keluarga. Syukur Alhamdulillah atas rezeki ini. Semoga semuanya berjalan dengan lancar dan selamat Amin.

SELAMAT TAHUN BARU 2012
SEMOGA LEBIH BERJAYA DAN BAHAGIA.

1 comment:

ieja amieja said...

selamat thn baru...sama2 lah kita bermusahabahkan diri..semoga thn ini akan lbh "berisi" berbanding ngan thn lps..