Sunday, May 29, 2011

mudah-mudahan

Dulu-dulu aku mengaji dengan ibu saja, walaupun bersebelahan rumah ada tok guru yang mengajar mengaji. Dengan ibu lebih garang, pantang ada kesilapan dalam bacaan matanya dijegilkan, nada suara lebih kuat dan nyaring hingga kadang kala tidak perasan air mata mengalir.
"Baca sampai pandai." kata ibu sambil memegang buluh petunjuk mengaji dan menunding ke al- Quran.
Sebab itu apabila ibu berkata, " malam ni cuti tak mengaji" terasa bagaikan bebanan batu terlepas di bahu. Seronok tak terkira kerana tidak perlu mendengar ceramah atau suara tinggi ibu. Seminggu dirasakan bagaikan sebulan dan kalau boleh biarlah tidak mengaji selama-lamanya pun tidak mengapa.
Dulu mengaji menggunakan Muqaddam iaitu menyebut huruf alif, ba, ta, tetapi kini anak-anak hanya menyebut bunyi saja menggunakan kaedah Iqra' seperti aa, ba, dan ta. Kaedah ini lebih senang dan mudah.



Aku pun tidak terkecuali membeli Iqra' untuk Durrani ketika awal dia masuk tadika. Memang dia sangat excited mengaji boleh dikatakan setiap hari selepas solat maghrib dia sendiri mengambil tudung dan membuka Iqra' meminta diajar.

Bermula dengan Iqra' 1, nampak seperti senang. Apabila dia mudah membaca aku yang mengajarnya tidaklah tension. Yerlah mengajar anak sendiri berbeza dengan mengajar anak orang. Baru aku faham kenapa ibu dulu cepat saja melenting ketika mengajar mengaji kami adik beradik.

Namun memikirkan dia masih kecil tahap tempreture turun sedikit. Pernah juga apabila aku meninggikan suara, tetiba suaranya yang kuat membaca huruf berubah perlahan. Aku melihat wajahnya rupa-rupanya dia menangis perlahan. "Ohh..mama tidak terniat pun membuatkan Durrani menangis," terus rasa bersalah.

Sekarang mengaji dan solat menjadi rutin hariannya (mungkin dia mendapat motivasi dari ustazah di sekolah), namun sebagai ibu berkerja aktiviti malam menjadi lebih padat dan agak kelam kabut sedikit. Maklumlah balik kerja sampai rumah dah Maghrib, mana lagi nak siapkan makan malam dan ajar mengaji.

Teringat kata-kata seorang ustaz yang memberitahu memberi pendidikan agama kepada anak-anak adalah tanggungjawab ibu bapa dan bukannya ustazah atau ustaz di sekolah.

Saturday, May 28, 2011

Pemberian biasiswa berita baik atau sebaliknya?

Keratan akhbar Berita Harian bertarikh 28 Mei 2011:



Adakah ini satu berita baik atau sebaliknya?

Semua pelajar yang berjaya mendapat 8A dalam SPM tanpa mengira bangsa layak mendapat tajaan biasiswa JPA untuk mengikuti ijazah tahun pertama di dalam dan luar negara.

Adakah selepas ini anak-anak kitaberpeluang menerima biasiswa atau akan dimonopoli kaum lain khususnya Cina apabila penghapusan sistem kouta dan diganti dengan merit. Ini kerana realitinya ramai anak Cina lebih berjaya dan memperoleh keputusan cemerlang berbanding Melayu dan lambat laun akhirnya bumiputera akan terus ketinggalan dalam dunia pendidikan yang bersifat profesional.

Senario hari ini Cina dianggap pemegang ekonomi negara, walapun tanpa biasiswa atau pinjaman mampu menghantar anak ke luar negara atau melanjutkan pelajaran ke kolej-kolej antarabangsa. Jika diikutkan jumlah penduduk Melayu adalah lebih ramai berbanding kaum lain atas sebab itu sepatutnya sistem kouta masih lagi wajar diamalkan berbanding merit bagi mengelak anak-anak kita pada masa depan tidak berpeluang mendapat biasiswa atau menjadi warga kelas ke-II, walaupun dalam negara tumpah darah sendiri.

dan adakah selepas ini kemasukan ke IPT awam dan UiTM akan berubah kepada sistem merit dan bukan koata..jika ya jangan haraplah selepas ini hanya dengan keputusan 1A atau 2A saja dalam SPM mereka mampu mendapat tempat ke IPTA.

*** Persaingan akan menjadi semakin sengit disebabkan kehendak kita sendiri***

baik tengok Maharaja Lawak...

Dulu aku bukanlah peminat tegar rancangan Raja Lawak cuma hanya mengikuti Raja Lawak pertama dan kedua saja ketika Johan, Zizan menjadi peserta pada musim pertama dan dan Nabil menjadi juara ketika Raja lawak musim kedua. Tetapi untuk rancangan Maharaja Lawak, memang aku tidak pernah ketinggalan mengikutinya.
Apa yang membezakan pertandingan Maharaja Lawak ialah pada peserta yang sudah ada nama dan mempunyai peminat sendiri seperti Nabil dan Jozan yang sudah bergelar pelakon dan berpengalaman sebagai pengacara.



Tetapi setelah mengikuti hampir sembilan minggu, selain Jozan dan Nabil nampaknya Jambu mempunyai Xfaktor tersendiri yang mana lawak-lawak mereka seperti mana kata Mamat Khalid bersifat Internasional. Selain menghiburkan lawak jambu menggambarkan mereka membuat research terlebih dulu dan bukannya lawak 'kampung' semata-mata. Contoh lawak pada minggu kelapan Silent Comedy manakala minggu kesembilan lawak orang dari benua Amazon yang menggunakan bahasa tersendiri. Walaupun tidak difahami namun cukup membuatkan penonton ketawa terbahak-bahak.



Nabil keistimewaan adalah pada lawak-lawak berteknologi dan sentiasa mendahului zaman. namun adakalanya seperti dia memperbodohkan penonton.
Jozan pula pada setiap minggu sentiasa menunjukkan prestasi membanggakan. Lawak mereka (yang aku kira banyak dibantu oleh Johan) sangat menghiburkan sesuai dengan pengalaman sebagai pelakon dan pengacara.




Jika diberi pilihan 3 peserta yang layak ke final pilihan aku ialah JAMBU, JOZAN dan NABIL.
pengundian pada minggu kesembilan menunjukkan Jozan mendapat undian tertinggi dengan 35 peratus diikuti JAMBU 31 peratus, NABIL 14 peratus, SEPAH 12 peratus dan R2 dengan 8 peratus.

Jozan dan Jambu bersaing sengit antara satu sama lain. Jika undian SMS diambil kira Jozan mempunyai peluang yg sangat cerah bergelar juara. Ini kerana mereka pastinya mempunyai peminat yang ramai kerana populariti masing-masing tambah pula Zizan pernah memenangi ABP 2010 sebagai Pelawak Popular. Tidak mustahil ramai peminat akan mengundi mereka. namun sekiranya pada peringkat akhir menggunakan khidmat juri profesional di pentas, peluang untuk jambu bergelar juara adalah lebih terbuka. Ini disebabkan mereka mempunyai XFaktor yang tiada pada peserta lain. Konsep lawak mereka bersifat antarabangsa dan boleh diterima semua kaum.

Namun masih ada tiga minggu untuk ke final. Minggu hadapan, persembahan Maharaja Lawak akan berlangsung di Penang International Sports Arena, Pulau Pinang diikuti dengan minggu seterusnya (10 Jun 2011) di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, Kuantan dan pada 17 Jun depan pula akan berlangsung di Dewan Tertutup Majlis Bandaraya Johor Bahru, Johor sebelum ke peringkat akhir yang akan berlangsung di Kuala Lumpur.

Apa pun pertandingan ini menyediakan jumlah wang yang banyak kepada juara iaitu RM300,000, naib juara RM200,000 dan ketiga RM100,000. Sebenarnya jumlah itu mungkin hanyalah sedikit berbanding jumlah pelanggan Astro Mustika yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Aku sendiri lebih menonton Maharaja Lawak berbanding pertandingan realiti TV seperti Akademi Fantasia. "baik tonton Maharaja Lawak boleh juga ketawa drp tonton Akademi Fantasia yang langsung tiada fantasinya."

menarik untuk dikongsi..

Menarik untuk dikongsi:

Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.
“Mengapa?” balas saya.
“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”
Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.
“Oh ramai encik…”
“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.
“Kakak, boleh saya bertanya?”
“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”
Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.
“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.
“Maksud encik?”
“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”
“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”
“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”
“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.
“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.
“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”
“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’
“Pasti ada! Insya-Allah.”
“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”
“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”
“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”
“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”
“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”
“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”
“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.
“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”
“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”
“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”
“Kita akan sakit jiwa!”
“Kenapa?”
“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.
“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”
“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

P/s: Ya betul rezeki Allah itu datangnya drp pelbagai segi. Kdg2 Allah berikan kesusahan pada seseorang tetapi dr sudut yg lain diberikan rezeki pada anak-anak dr segi anak yg bijak dan soleh. Yg penting kita bekerja secara jujur dan ikhlas wpun kadang-kadang apa yg diperoleh tidak setimpal apa yg diberi tetapi percayalah suatu hari nanti kita akan memperoleh kembali apa yang kita tidak peroleh pada masa lalu..mungkin diberikan pada kita atau pada suami atau pd anak-anak. Jadi jgn mempersoalkannya...kerana percaya kepada "buat baik pasti baik jg balasannya."

Sunday, May 22, 2011

daripadaNya kita datang kepadaNya kita kembali

Al-Fatihah untuk mangsa tragedi tanah runtuh di rumah Persatuan Anak-anak Yatim Malaysia di Batu 14, Hulu Langat, Kajang, dekat sini hari ini. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempat di syurga Amin.



Daripada Abu Ummah diceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap. Dan barang siapa yang berbuat baik kepada anak yatim perempuan dan lelaki, maka aku dan dia akan berada di syurga seperti ini, Rasulullah SAW mengisyaratkan merenggangkan antara jari telunjuk dan jari tengahnya.” (Hadis riwayat Ahmad)



Ni pula gambar yang diambil drp blog MiM ..Tun Mahathir yang dimasukkan ke IJN kini dalam keadaan sihat dan bertambah baik. Moga Tun Mahathir diberikan kesihatan yang lebih baik serta dipanjangkan usianya Amin.



Saturday, May 14, 2011

Sukan @ Smart Reader Kids

Hari ni pagi-pagi lagi dah bangun sebab ada sukan untuk Smart Reader Kids Bandar Baru Bangi. Jam 7.30 semua dah berkumpul di padang seksyen 15 Bangi. Semua pelajar ditemani ibu bapa masing-masing mengikut cawangan sekolah. Semuanya ada 5 cawangan di Bandar Baru Bangi saja.

Semua pelajar berkumpul mengikut sekolah masing-masing. Durrani seksyen 9, jadi berkumpul dengan kumpulan sek 9. Oh susah juga nampaknya nak mengumpulkan semuanya dan nak bg pelajar-pelajar ni faham arahan maklumlah ada umur 3,4,5 dan 6 tahun dengan macam2 perangai.


lepas dah berkumpul di beri penerangan kena tunggu sehinggalah dipanggil untuk permainan.

Fahim yg bosan menunggu sebab panas...



Sesuai usia permainan pun mudah-mudah saja. Antaranya bawa belon masuk dalam baldi, amik guli dalam tepung, lari pakai but sambil bawa bola. Untuk ibu bapa pun ada jg permainan tarik tali untuk bapa dan kupas bawang untuk ibu.


Ok ni permainan pertama...tengah berbaris menunggu wisel ditiupkan.

Berbaris untuk dapat hadiah. Untuk dua permainan ..sek.9 5 tahun kedua-dua permainan dapat pingat emas. hahhaha bukan main suka lagi Durrani bila dapat 2 piala.

Teruja bergambar dengan piala.

Proses pemberian hadiah..semua kena beratur menunggu giliran. Pertandingan dalam kumpulan jadi semua pelajar dapat hadiah.

"mama..mama ...kakak dapat dua hadiah,' katanya.

Hari tu barulah mengenali lebih dekat kawan baik Durrani. selalu dengar dia bercerita saja.
Syaidah, Siti Safiah, Amyra dan Durrani (paling kiri)


Kawan baik dalam kelas Amyra.

"kakak tadi lari lajukan mama,"
" bestkan dapat hadiah,"
"nanti nak dapat hadiah lagilah,"

*** seronok tgk gelagat budak-budak apabila mendapat reward***