Saturday, March 26, 2011

malam melaram..

19 Mac lalu ada majlis makan malam bersempena 20 tahun Harian Metro.
Apa lagi disebabkan dah lama tak melaram (sebab dah lama tak ada dinner) jadi inilah masanya.
bertemakan warna hitam putih (kehidupan) masing-masing galak ler mencari baju hitam putih di semua pusat beli-belah. Nasib baik jumpa...

Dah katanya nak melaramkan tentu ler tak lengkap tanpa make up artis. Jadi dua make up artis dipanggil untuk menyolek hampir 10 orang wanita yang inginkan keanggunan mereka terserlah.


Lihatlah hasilnya selepas sesi solekan...sorry ya gambar kurang jelas hanya menggunakan kamera hp saja.


Ini ketika di dalam ballroom Holiday Villa Subang, bersama rakan sekerja. Pecah perut malam tu ketawa melihat gelagat pengacara nabil Raja Lawak, AG HotFM dan Sh Shahirah...yang sangat lah happening dengan lawak selamba mereka. Dari mula sampai akhir asyik ketawa saja....


Tak sempat ambil gambar banyak, sebabnya dah sampai kat meja terus duduk tak bangun-bangun. Sebenarnya mengidam nak dapat lucky draw TV LCD tapi hanya dapat sanwich maker saja, jadilah....

Friday, March 25, 2011

Benarkah dunia di penghujung zaman?

Membaca tulisan Hafizahril Hamid dalam Mingguan Malaysia bertarikh 20 Mac ada rasa gentar dan gerun di hati. Benarkah Kiamat hampir tiba? satu persoalan yang sukar dijawab. Namun banyak tanda-tanda kecil sudah muncul malah perangan yang tidak sudah, pemberontakan di tanah arab, gempa bumi di timur, barat dan tanah arab semakin memberi petanda mengenai akhir zaman yang sudah semakin hampir.
Mengikut kalendar kaum Maya, dunia berakhir pada 21.12.2012 (ingat cerita "2012").

Walaupun kita umat Islam tidak disuruh, dan tidak wajib percaya dengan semua tilikan dan spekulasi, namun di dalam Islam ada memberikan gambaran tanda-tanda akhir zaman, seperti kemunculan Imam Mahdi, Dajjal dan Nabi Isa; yang akhirnya diikuti dengan Ya'juj & Ma'juj.
Apa yang penting adakah kita bersedia menghadapi Dunia penghujung zaman?

Oleh Hafizahril Hamid

KEJADIAN tsunami dahsyat di Jepun telah membuat manusia beranggapan apakah peristiwa sebegini membawa petanda dunia kini semakin sampai ke penghujungnya.
--------------------------------------------------------------------------------
TSUNAMI yang berasal dari perkataan Jepun bermaksud "ombak gergasi" sudah cukup untuk menggerunkan sesiapa sahaja yang mendengarnya. Tiada sesiapa yang boleh mempertikaikan kemampuannya untuk memusnahkan apa saja yang berada di hadapannya.

Sehinggakan manusia semakin terfikir apakah fenomena tsunami yang melanda dunia, yang dilihat lebih kerap adalah hanya satu lagi fitrah alam atau apakah ia angkara petanda kemarahan alam terhadap kerakusan manusia itu sendiri?

Melihat kepada tragedi tsunami yang melanda Jepun pada tanggal 11 Mac lepas memang mengerikan namun ia bukanlah sesuatu yang baru di negara matahari terbit itu.

Akibatnya ramai yang mula beranggapan apakah peristiwa tsunami sebegini membawa petanda apakah dunia kini semakin sampai ke penghujungnya.

Dunia sudah dilanda dua kejadian tsunami besar dalam tahun millennium baru dan semakin ramai yang terpengaruh dengan ramalan kiamat dan kemusnahan total pada 2012.

Melihat kepada telahan umum ramai yang beranggapan tahun 2012 adalah tahun di mana satu bencana besar akan berlaku malah ada yang begitu yakin kiamat akan melanda manusia pada tahun tersebut.

Kiamat 2012

Apatah lagi sudah terdapat filem mengenai bagaimana dunia akan menjadi alam yang berbeza akibat kemusnahan dunia yang berlaku dalam filem 2012.

Dalam filem berkenaan kalendar kaum Maya yang berusia 5,125 akan tamat pada 21 Disember 2012. Kalendar Maya kuno dikatakan amat tepat terutama membabitkan perubahan pada planet.

Tamadun ini yang pernah wujud kira-kira 200 tahun sebelum masihi memiliki ilmu astronomi yang maju dan mereka berjaya mengesan pergerakan matahari dan planet sejak beberapa ribu tahun lalu. Tamadun ini mempunyai 22 kalendar yang merangkumi kitaran masa cakerawala dan sistem solar.

Pada tarikh 21 Disember 2012 Bumi dikatakan akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 25,800 tahun menyebabkan polar magnet Bumi berganjak sekali gus mencetuskan gempa bumi, banjir dan letupan gunung berapi.

Nostradamus

Begitu juga bagi peminat Nostradamus bilamana mereka telah membuat andaian akan berlaku satu peristiwa besar pada 2012, berdasarkan ramalan di bawah;

"At the place where HIERON has his ship built,
There will be such a great sudden flood,
That one will not have a place nor land to fall upon,
The waters mount to the Olympic Fesulan."

Nostradamus mendakwa planet-planet di angkasa lepas akan berantakan yang akan mengakibatkan hancurnya kehidupan. Namun tiada sebarang tarikh khusus yang dinyatakan cumanya pengikut Nostradamus membuat andaian berdasarkan pemahaman mereka.

Keadaan kini semakin kalut apabila dikatakan sebuah planet bernama Nibiru atau Planet X oleh NASA sedang melengkapkan putaran orbitnya yang berlaku setiap 3600 tahun. Planet ini digambarkan 100 kali ganda besar berbanding bumi atau sama besar dengan planet Musytari.

Planet Nibiru

Adalah dijangkakan pada 23 Disember 2012 planet ini akan memberi kesan paling dahsyat kepada Bumi apabila ia menceroboh sistem solar Bumi.

Apabila ini berlaku kesan paling buruk adalah ia akan memutarkan kedudukan kutub-kutub sekarang kepada terbalik (polar shifting). Bagi mereka yang percaya ia dikaitkan dengan peristiwa banjir besar zaman Nabi Nuh alaihissalam dahulu.

Bagaimanapun planet ini dikatakan tidak akan menghentam bumi tapi tarikan gravitinya yang sangat kuat akan mengganggu bumi. Planet ini dikatakan hanya akan lalu di antara bumi dan matahari, dimana kecerahannya muka buminya berwarna kemerah-merahan seperti matahari.

Maka ada yang beranggapan ia sebagai antara tanda besar kiamat dimana akan kelihatan objek merah di langit.

Planet Nibiru dipercayai mempunyai muka bumi yang tandus, senantiasa berlaku letusan gunung berapi, gempa bumi dan bencana alam lain dan ia mampu memudaratkan hidupan-hidupan yang menghampirinya. Selain itu Planet Nibiru dipercayai berkuasa magnetik dan boleh menganggu kestabilan geografi bumi.

Semenangnya banyak kajian mengenai planet ini telah dijalankan namun kewujudannya masih menjadi misteri. Ia sukar dikesan walaupun melalui alat teropong planet, kerana kedudukannya yang berada jauh dari Pluto.

Malahan pada tamadun Mesopotamia dan pada era kegemilangan Kota Babylon yang diperintah oleh Raja Nebuchadnezzar, Planet Nibiru juga dikenali sebagai Planet Tiamat, maka adakah ia juga satu sebutan bagi kiamat?

Kod rahsia

Selain itu teori akan berlaku kiamat pada 2012 diperkuatkan lagi dengan penemuan kod rahsia dalam Kitab Injil Perjanjian Lama pada tahun 1994 oleh sekumpulan penyelidik. Menurut mereka, bumi akan dihentam asteroid sehingga menyebabkan kemusnahan besar-besaran.

Bagi seorang penulis, Fahd Amir al Ahmadi mengatakan bahawa banyak ilmuwan yang bersepakat dengan suku Maya bahawa satu kejadian besar akan berlaku pada tahun 2012 namun masih belum diketahui jenis bahananya.

Di Asia, hal yang sama telah ditunjukkan oleh berbagai buku yang ditulis oleh para astrologi China dari Dinasti Chang sejak tahun 1766, akan berlaku bencana besar pada 3778 M (yang bertepatan dengan tahun 2012).

Seorang ahli astronomi Jepun, Haido Itakawa pula berkata pada tahun 1980 bahwa planet-planet matahari akan tersusun di dalam satu garis di belakang matahari, dan ini kemudiannya akan mengakibatkan kejadian kemusnahan di angkasa raya sekaligus menghentikan kehidupan di atas muka bumi juga pada tahun 2012.

Itu adalah antara sebahagian tilikan dan kepercayaan sesetengah manusia bahawa kejadian tsunami yang semakin hebat melanda dunia adalah antara petanda dunia sudah semakin sampai ke penghujung.

Sesungguhnya ramalan mengenai kiamat tahun 2012 itu disandarkan pada penemuan beberapa ahli astrologi kuno serta para ahli astronomi moden. Namun bagi kita sebagai umat Islam seseorang wajib beriman bahawa hari kiamat pasti datang dan berlaku. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsianya.

Islam

Namun begitu soal kiamat merupakan hal ghaib yang harus dipercayai oleh setiap Muslim namun tarikh sebenar hanya diketahui oleh Allah SWT seperti firmannya dalam surah al A'raf: 187, maksudnya :

"Mereka menanyakan kepadamu tentang kiamat: "Bilakah terjadinya?" Katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan tentang kiamat itu adalah pada sisi Tuhanku; tidak seorangpun yang dapat menjelaskan waktu kedatangannya selain Dia. Kiamat itu amat berat (huru haranya bagi makhluk) yang di langit dan di bumi. kiamat itu tidak akan datang kepadamu melainkan dengan tiba-tiba".

Malah tokoh Islam, Syeikh Yusuf al Qaradhawi pernah ditanya apakah dunia akan hancur pada tahun 2012 ?

Beliau menjawab bahawa ini termasuk pembicaraan tentang sesuatu yang akan datang, menerobos tabir masa yang akan datang, menyingkap apa-apa yang mungkin terjadi pada anda besok atau lusa, dan itu semua tidaklah ada yang mengetahuinya kecuali Allah SWT.

Tsunami Jepun

Sehingga kini berdasarkan rekod, Jepun adalah negara paling banyak dilanda tsunami dan sememangnya ia sudah sangat sinonim dengannya. Dalam jangkamasa lebih 1,300 tahun, sebanyak 195 kejadian tsunami telah melanda Jepun dan secara puratanya kejadian ini berlaku sekali dalam 6.73 tahun.

Malah, gempa bumi kuat berukuran 8.9 skala Richter yang juga kelima terkuat di dunia telah menyebabkan kedudukan Pulau Honshu berganjak sehingga 2.4 meter dengan pembentukan rekahan di dasar laut negara itu sepanjang beratus-ratus kilometer.

Hingga kini jumlah korban sebenar masih belum boleh dipastikan kerana angkanya terus meningkat dari saban hari. Dijangka jumlah sebenar mungkin melebihi 10,000 orang.

P/s: walau apa juga ramalan kita disuruh melakukan amalan yang disuruh olehNya dan meninggalkan laranganNYA.

Sunday, March 13, 2011

A Doctor In The House


Beliau diberi pelbagai nama dan label — diktator, Melayu ultra, rasis, keras kepala — namun pemimpin ini yang naiknya penuh dengan cabaran, perjalanan politiknya amat berliku dan turunnya penuh dengan kejutan diiringi dengan air mata, sebelum disisih sekali lagi dan kini masih memerhati dengan serius setiap gerak pembangunan negara.

Terkenal di seluruh dunia — bukan sebagai ‘pak turut’ tetapi sebagai pemimpin lantang, tidak gentar meluahkan pandangan, berani mengubah dasar antarabangsa negara, tegas apabila berhadapan dengan pemimpin besar dunia kelas pertama dan paling penting meletakkan Malaysia serta bangsa Melayu di persada yang luar biasa hebatnya.

Itulah Tun Dr Mahathir Mohamad — perjalanan hidupnya penuh dengan cerita. Setiap langkah diambil mengambil kira kemajuan anak bangsa dan negara. Beliau pernah dipecat daripada parti (UMNO) tetapi keberanian dan ketegasannya dihormati ramai, dipuji hebat, dikritik dan dikutuk dengan amat sadis namun setiap kali hampir tersungkur dia akan bangun dengan lebih gah daripada sebelumnya.

Ramai tidak faham kebanyakan tindakan dan keputusan. Ramai tertanya-tanya mengapa Dr Mahathir berbuat itu dan ini sepanjang pentadbiran selama 22 tahun, terutama mengapa beliau kelihatan mempunyai begitu banyak musuh daripada Tunku Abdul Rahman, Tan Sri Musa Hitam, Tengku Razaleigh Hamzah dan paling kritis, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Semua soalan akhirnya menerima jawapan. Penyokong, peminat dan musuh akhirnya mengetahui isi hati pemimpin paling kontroversi dan paling gah dalam sejarah Malaysia melalui buku yang ditulisnya sendiri A Doctor In The House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad.

Buku setebal 843 muka surat ini bukan saja menceritakan kisah hidupnya, bahkan menjelaskan segala persoalan mengenai pelbagai isu, kes dan peristiwa, termasuk asal usul sejarah yang berkaitan.

Membuka tirai bab pertama ‘Menjadi Perdana Menteri’ (Becoming Prime Minister), Dr Mahathir menggarapkan pelbagai peristiwa pahit manis sejak beliau mula menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai 1981. Itu hanya pembuka kata, kerana cerita lebih mendalam berada dalam bab seterusnya.

Selepas menjadi wartawan yang mengikuti beliau selama lebih 10 tahun, gaya penulisannya yang direct to the point, ringkas dan tidak membuang masa, membuat ramai teringat ucapannya sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Seperti ucapannya — padat, memberi penjelasan, jelas dan tidak berbelit-belit – begitu jugalah penulisannya di dalam buku ini. Setiap isu, kes dan peristiwa memang diketahui ramai, cuma menerusi buku ini baru rakyat mengetahui cerita sebenar dari sudut pandang beliau.

Walaupun memulakan dengan bab Menjadi Perdana Menteri, tetapi cerita sebenar bermula dari zaman kecilnya dan yang bagi biasa mendengarnya penuh dengan nilai kekeluargaan – cara pembesaran ayah dan ibu, adat anak bangsa, membesar dalam suasana kampung Melayu yang miskin dan ketinggalan dari arus pembangunan pekan yang dikuasai bangsa asing.

Bab ‘I am A Malay’ (Saya Seorang Melayu) membuatkan mata berkaca, kerana sudah agak lama tidak mendengar negarawan ini berucap — membakar semangat sebagai anak Melayu yang tidak gentar untuk menghadapi apa juga cabaran dan halangan.

Dr Mahathir menyentuh mengenai Tanah Melayu yang dijajah selama 450 tahun membuatkan bangsa Melayu tidak pernah menjadi tuan di negara sendiri, pengenalan Malayan Union oleh British adalah kes pertama di mana bangsa Melayu bangkit menentang secara lantang.

Penceritaannya di dalam setiap bab amat mengagumkan. Mungkin ada nama yang disebut tidak setuju dengan penjelasan diberi, namun setiap pihak mesti tahu ini adalah luahan daripada persepsi Dr Mahathir.

Semua kes dan isu, termasuk membabitkan permusuhannya dengan Tunku Abdul Rahman, hubungan dengan pemimpin Umno, tragedi yang memecah belahkan Umno pada 1987, kes membabitkan pemecatan Ketua Hakim Negara, Ops Lalang, Perwaja, malahan cerita mengenai Anwar Ibrahim — dari zaman pelajar, memasuki Umno sehingga beliau dipecat — ditulis dengan jelas.

Setiap tindakan, keputusan dan sikap yang selama ini tidak difahami ramai orang, dijawab dengan jelas melalui buku ini. Bagi mereka yang tidak mengenali Perdana Menteri Malaysia keempat ini, yang menganggap beliau diktator, Melayu ultra atau rasis, juga sudah pasti mengenai pemimpin yang mempunyai impian dan harapan yang cukup tinggi bagi membangunkan anak bangsa dan negaranya.

Dr Mahathir melahirkan segala impian dan harapannya dengan lantang di dalam buku ini. Segala tindakannya baik di pentadbiran negara, mahu pun dalam hubungan dengan dunia luar – mengambil kira kedudukan Melayu sebagai pewaris bumi bertuah ini dan Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat, dengan tidak membelakangkan bangsa lain.

Seperti ucapannya, tulisannya juga perlu dibaca dari awal hingga akhir. Setiap cubaan untuk sekadar memandang sekali lalu tidak berkesan, kerana akan ada penjelasan yang tidak diketahui.

Walaupun ada kenyataan dan cerita yang nampak berulang, namun ia tidak mencacatkan buku ini kerana ia adalah cara Dr Mahathir untuk memastikan setiap pembaca tahu apa yang dimaksudkan.

Jika membaca dengan ikhlas, ramai dapat melihat Dr Mahathir juga adalah seorang manusia biasa yang penuh dengan angan-angan, impian, kebimbangan dan disulami dengan kasih sayang sebagai seorang pemimpin, bapa dan suami.

A Doctor In The House adalah sebuah memori yang wajib dimiliki setiap rakyat Malaysia. Ia bukan saja buku yang menceritakan pemikiran seorang pemimpin agung negara, bahkan mengandungi sejarah yang selama ini hanya sekadar cakap dengar (hearsay).


Jamhariah Jaafar - Berita Harian

****Buku yang harus dimiliki***