Monday, April 30, 2012

mengandung, kerjaya dan anak-anak

Kata orang saat mengandung paling seronok kerana wanita diibarat sebagai raja, terutama ketika saat menghadapi morning sickness, tidak perlu memasak kerana alah dengan bau, ada pula sehingga 9 bulan. Jadi makanan dibeli saja atau sekiranya mendapat suami yang pandai memasak akan disediakan suami. Sebut saja teringin makan apa...tidak sampai satu jam pasti makanan tersedia di meja.

Begitulah pengalaman kalau mengandung anak sulung kata orang semuanya serba sempurna dan menyeronokkan. Maklumlah nak menyambut ahli baru dalam keluarga. Pernah satu ketika jam 2 pagi saya teringin makan roti tampal lalu mengajak suami yang masih belum tidur ke kedai mamak yang mujur jauhnya hanya 100 meter saja, berjalan kaki lah kaki sambil berpegangan tangan dan berembun pada waktu pagi. Usai makan pulang ke rumah dan menyambung tidur semula... seronokkan??

Apabila anak kedua sudah ada sedikit pengalaman, namun morning sickness tetap sama empat bulan menggantung periuk. Kemudian apabila tamat tempoh itu kembali memasak semula maklumlah kadang kala jemu juga dengan masakan di luar. Di rumah walau hanya sayur goreng bersama ikan goreng dan sambal belacan sudah mencukupi. Ketika anak kedua jua saya menjadi sangat berdikari mujur Tuhan memberikan kekuatan untuk bekerja.

Bayangkan bekerja sebagai wartawan yang kerjanya keluar masuk opis setiap hari tentunya memerlukan kekuatan mental dan fizikal yang bukan sedikit. Bukan setiap orang lain yang boleh duduk di kerusi lapan jam sehari tetapi saya perlu keluar mencari berita, walaupun ketika itu perut sarat memboyot tetapi kerja tetap kerja. Paling saya ingat ketika menjalani penggambaran fesyen di sebuah kawasan berbukit, saya yang ketika itu mengandung lima bulan terpaksa mengangkut pakaian yang bukan sedikit dalam keadaan cuaca panas terik. Apabila sampai di kawasan penggambaran, alahai macam mana ni takkan mahu dipanjat sekali. Akhirnya saya hanya mampu berada di tengah saja apabila jurugambar menyuruh saya duduk di situ. Dia pula yang risau melihat saya. Takut terbersalin pula.  Walaupun penat, letih namun gambar dihasilkan sangat mengujakan saya. Memang saya puas.

Itu belum termasuk berjalan mengunjungi butik mengutip pakaian untuk fesyen, ruangan suai padan dan aksesori. Kadang-kadang saya terpaksa membawa sehingga lima beg sekaligus. Malas mahu berulang-alik kereta. Namun terpaksa digagahi juga. Tiada istilah, " maaf bos saya mengandung boleh tak nak bercuti daripada keluar opis". saya pasti jawapan bos saya, " siapa suruh kau mengandung". kadang-kadang saya risau juga dengan keaktifan saya ketika bekerja takut sekiranya baby keluar awal maklumlah kata orang tua kalau mahu bersalin cepat banyakkan berjalan. Tapi memang ada benarnya kerana terlalu aktif ketika anak kedua saya bersalin awal 28 hari. Sepatutnya 29 hb Julai tetapi Fahim dilahirkan pada 1 Julai. Termenung saya seketika apabila melihat tanda darah..kerana ketika itu masih banyak kerja belum disiapkan. Mujur saya sempat menyiapkan stok cover dan fesyen untuk 2 bulan selebihnya story masih belum bertaip. Sehinggakan saya katakan pada dr saya, "ala dr saya tak nak bersalin lagi, banyak kerja belum selesai lagi". tersenyum dr mendengarnya.

Sekarang kandungan ketiga,  sudah memasuki 28 minggu bermakna sudah 7 bulan dan saya turut aktif seperti anak kedua. Malah bertambah lagi...kerja jangan cakap memang bertambah dengan kehadiran majalah M, (Metro Ahad) kemudian terpaksa membuat stok untuk tempoh berpantang 2 bulan. Fuhh!!! kalau diikutkan memang tidak terkejar dibuatnya. Tetapi saya gagahi juga setakat termampu.

Ya...memang kalau diukutkan masa mengandung saya menjadi lebih rajin dan bersemangat bekerja. Idea pula begitu senang ketika menaip berita. Panjang berjela...Alhamdulillah semoga kekuatan dan semangat ini diperturunkan kepada baby dalam kandungan. Semoga dia menjadi anak yg rajin, kuat semangat, berdisiplin dan kental menghadapi cabaran hidup. Itu doa saya selalu.

Kalau boleh saya juga tidak pernah mahu menyusahkan suami... apa saja yang teringin dimakan sebolehnya saya akan cuba mendapatkannya sendiri. Maklumlah kerja seperti saya senang ke sana ke mari. Jadi tidak menjadi masalah kalau teringin makanan Jepun, barat, ice cream pasta, sanwic atau yang sewaktu dengannya kerana boleh diperoleh ketika bekerja. Bukan suami tidak dapat memenuhi permintaan isteri tapi saya rasa tekak orang mengandung ni pelbagai jadi daripada timbul rasa menyusahkan lebih baik saya mendapatkannya sendiri.

Saya akui dengan kerja yang tidak pernah surut, mengejar deadline pada setiap minggu, tugasan luar setiap hari  dan pada hujung minggu sesungguhnya sangat menguji kesabaran. Penat fizikal usah cerita. Tetapi saya akur itu semua adalah cabaran dan ujian .... besar pahalanya bagi wanita mengandung sekiranya semua ini dilakukan dengan ikhlas dan tanpa bersungut. Saya cuba untuk menjadi pekerja yang baik, ibu yang cemerlang dan isteri yang mampu melaksanakan tugas di rumah dengan sempurna.

Paling penting masa berkualiti bersama anak-anak tidak diabaikan. Saya paling risau sekiranya dalam waktu kesibukan menguji minda, saya menjadi seorang yang mengabaikan anak-anak, melayan perasaan mereka sambil lewa tanpa sedar menyebabkan hati mereka terguris. Oh tidak saya selalu ingtakan diri saya supaya dalam apa juga perkara anak-anak adalah paling utama. Walau sesibuk masa sekali pun layanan serta komunikasi dengan mereka tidak boleh diabaikan kerana masa yang ada bersama mereka adalah sangat berkualiti dan tidak boleh dicari ganti.

p/s: apabila anak sulung saya begitu excited membaca cerita yang saya tulis diakhbar dan dia dengan lancar berkata, "mama kakak nak jadi macam mamalah nanti kakak tulis keluar dalam surat khabar,"
oh dengan pantas saya berkata, "janganlah kakak carilah cita-cita lain jgn jadi macam mama" dan sekarang apabila ditanya cita-cita jawapannya "kakak mahu jd doktor."

Kalau boleh saya tidak mahu anak-anak saya menuruti kerjaya saya, terutama untuk perempuan. Carilah bidang lain yang lebih sesuai. Sekiranya ingin menjadikannya sebagai kerjaya sampingan penulis novel sambilan misalnya tidak mengapa, kerana itu mampu menjana kewangan.














Saturday, April 28, 2012

anak-anak dan kesibukan bekerja

 
Kalau saya tidak bekerja pada Sabtu dan Ahad atau hari cuti anak-anaklah yang paling gembira. Biasanya kalau hari sekolah tiap hari mereka akan bertanya, "mama hari ni hari apa...cuti ke sekolah," baik kakak atau adik. Tapi kakak dah tahu hari so dia akan lebih excited bila tiba Jumaat. Manakala adik akan berkata, "seronoknya cuti, mama ada...duduk rumah." sambil memeluk saya. Memang setiap hari dan hujung minggu dia akan berbuat begitu.
Kadang-kadang nak mengalir air mata bila si adik berkata, " Ala Aim rindu mama...hari-hari mama kerja. Aim nak ikut mamalah. Aim sayang mama. Mama baliklah cepat-cepat tau. Amik Aim."

Memang inilah ungkapannya bila saya menghantar dia pagi-pagi ke rumah pengasuh.  Kadang-kadang susah juga nak menjelaskannya kepada mereka. Saya selalu katakan, "mama kena kerja cari duit, nanti nak sekolah, nak bagi Aim belajar pandai-pandai kerja best-best. Kalau tak kerja macam mana nak beli mainan dan beli susu Aim, nak bagi Aim makan." dan selepas itu dia mengangguk tanda faham..dan esoknya akan bertanya lagi.

Pernah juga bila saya selalu berkata, Aim nanti besar belajar rajin2 nanti boleh kerja besar, gaji banyak. Boleh beli kereta dan rumah besar boleh jaga mama," kemudian dua tiga hari kemudian apabila dia melihat ada lelaki sedang menunggang motosikal di dalam hujan dia berkata, "mama tengok tu kasihan dia... naik moto...basah..sian dia tak ada kereta. Dia tak belajar rajin-rajin ke mama?" alahai anak mama...memang susah dan sukar menjelaskan kepadanya.

 Saya perasan apabila perkara ini diulag-ulang walaupun hanya 10-15 minit di dalam kereta ketika saya menghantarnya ia sangat berkesan di dalam hati. Dan hanya itulah saya rasa masa berkualiti yg saya ada ketika bersama anak-anak. Kecualilah pada hari cuti.

Bayangkan ibu yang bekerja seperti saya, pagi-pagi sudah menghantar anak, kemudian jam 7 malam baru berjumpa mereka. Kemudian jam 10 malam mereka sudah tidur berapa banyak masa yang saya ada. Ditolak dengan kerja memasak di dapur, kemudian membasuh pinggan dan mengemas dapur. Selepas itu sudah penat...sedangkan mereka perlukan perhatian. Kadang-kadang apabila terlepas percakapan dgn nada yang agak tinggi atau marah, saya beristigfar kembali.

Ya saya tahu mereka harus didahulukan dalam semua perkara. Sebab itu apabila si adik meminta untuk dibuatkan susu atau memanggil untuk dipakaikan baju, untuk melihat mainan yang tersepit di bawah kerusi atau memanggil untuk melihat kartun kegemarannya cepat-cepat saya datang menghampirinya. Kerana saya tahu mereka memerlukan saya pada waktu itu. Pernah juga si adik berkata, "mama jgn lah marah-marah. Kalau mama marah Aim tak mahu kawan dengan mama," dan saya mengambil pendekatan untuk tidak meninggikan suara. Saya juga perasan kini kalau saya terlepas cakap atau meninggikan suara..masing-masing sudah mengalirkan air mata. Oh anak....betapa sensitifnya perasaan kamu!.

Sebab itu jika terpaksa pulang lewat, saya tidak akan memasak kerana kerja-kerja didapur tentunya mengambil masa yang lama walau hanya makanan simple saja. Katakan memasak jam 8 kemudian makan dan mengemas, jam 9.30 baru selesai. Berapa banyak masa yang saya ada untuk melihat kerja sekolah dan melayan mereka bercakap sedangkan ketika itu memang banyak idea dan perkara yang mereka ingin kongsi bersama.
Seperti mana anak saya yang kecil akan bercerita ketika di rumah pengasuhnya, itu dan ini.. tengah hari makan apa, tidur jam berapa, main apa bergaduh atau tidak manakala kakak akan bercerita kawan-kawan di kelas dan apa yg dipelajari hari itu. 

Saya pernah menemuramah seorang seoarang pensyarah di UKM, katanya walau bagaimana sibuk sekalipun jangan mengabaikan anak-anak. Kerana drp ibu bapalah perangai dia terbentuk, jangan salahkan anak-anak kalau dia degil, tidak mendengar kata, malas , suka berbohong dan sebagainya kerana dia melihat apa yang ibu dan bapa  lakukan di rumah. 

Cuba carikan masa bersama mereka terutama pada waktu makan. Kerana pada masa ini walaupun hanya 1 atau 2 jam di meja makan tetapi masa yang ada sangat berkualiti. Pada masa inilah anak-anak akan bercakap dengan ibu bapa. Bertanya pelbagai perkara.

Saya teringat beginilah yang dilakukan ibu bapa saya di kampung. Anak-anak tidak makan selagi ayah saya tidak berada di meja makan. Sama ada pagi, makan tengah hari atau malam. Semua akan menunggu di meja makan bila semua sudah ada barulah boleh menjamah makanan. Tetapi berapa ramai keluarga mempraktikkan perkara ini dalam rumah tangga. Kalau pensyarah itu lagi walaupun nampak simple tetapi jika dilakukan setiap hari kesannya sangat besar terhadap perkembangan emosi anak-anak.

Dulu ketika di sekolah menengah adik beradik yang ada di rumah akan diajak berjemaah Maghrib bersama. Ayah saya  akan menjadi imam, diikuti abang, adik lelaki, mak, saya dan adik perempuan. Yang lain sudah bekerja dan tinggal berjauhan. Kadang-kadang memang rasa liat dan malas, maklumlah selepas itu diadakan bacaan kitab.
Memang masing-masing akan disuruh untuk solat berjemaah, kalau malam Jumaat akan dibacakan Yasin bersama-sama. Memang seronok apabila dikenang kembali saat-saat itu kerana ini menjadikan kita lebih hormat pada ibu bapa.

Kata pensyarah itu lagi,  " jika tidak mahu bertanggungjawab dan menjadi ibu bapa yang sempurna drp semua segi jangan beranak atau ada anak, kerana tanggungjawab seorang ibu dan bapa itu sangatlah besar bukan sekadar melahirkan, memberi makan, menyediakan segala keperluan tetapi memastikan emosi, rohani, jasmani seimbang dunia dan akhrat. Namun apa yg berlaku pada masa sekarang mengapa banyak kes lari dr rumah, anak tidak mendengar kata, degil, buang bayi adalah disebabkan berpunca drp ibu bapa itu sendiri."

Wallauhualam.... 


p/s: Bersyukur bagi ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa, kerana banyak masa bersama-anak di rumah.


Sunday, April 15, 2012

Konvensyen Bidadari Dunia 2012


 Konvensyen Bidadari Dunia 2012

 Antara penceramah Wardina, Catriona, Suriati Daman (pearl haya) dan Datin Zaleha Omar.

 Kagum dengan Wardina, dia wanita dan ibu yg wajar dicontohi. Sekali Tuhan memberikan hidayah dia menjadi wanita yang sangat baik akhlaknya dan juga menjaga keimanannya. Saya sering mengikuti motivasi serta ceritanya di blog. Sangat bermanfaat. Bacaan al-Quran sangat menyentuh hati dan mendayu-dayu sehingga saya sendiri mengalirkan air mata.

Kata Prof. Dr. Muhaya yang baik hati, "Jika kita ambil masa orang, nanti Allah ambil masa kita. Jom, kita bagi masa lebih pada orang." 

Kata Puan Jamilah yang 'cool', "Anak kecil yang biasa dipukul pada usia 1 hingga 2 tahun, akan pukul mak dia pula pada usia remaja."

Kata Wardina pula, “ hidayah tidak akan datang sendiri tanpa kita yang mencari .” 

Kata Datuk Siti Nurbahyah, “ kehidupan seseorang yang sukar dan tidak bahagia adalah berpunca daripada bagaimana kita  melayan kedua ibu bapa kita pada masa lalu.” 

 Ini antara kata-kata penceramah tersohor ketika mengikuti persidangan Bidadari Dunia anjuran iluvislam.com. Memang sangat menarik menerusi tajuk-tajuk ceramah disampaikan  penceramah terkenal tanah air. Banyak ilmu yang diperoleh terutama dalam menjadi wanita sempurna bukan saja di dunia malah akhirat. Kadang-kadang kita rasa apa yang kita lakukan semuanya sudah betul dan sempurna tetapi sebenarnya semakin kita mencari kesempurnaan itu semakin banyak yang kita temui mengenai kekurangan pada diri sendiri. 

Paling terkesan apabila Wardina membaca ayat suci al-Quran dengan linangan air mata ketika menyampaikan forum bertajuk Fesyen Yes or Not. Nampak kesungguhan, kejujuran dan keikhlasan dalam hatinya ..nampak dia begitu  sayu dan sedih dengan keadaan dunia pada masa kini. Terutama sekali wanita. Katanya berapa ramai wanita menutup aurat sepenuhnya? Bertudung tapi masih memakai pakaian ketat, bertudung tapi tidak melabuhkan tudung sehingga ke paras dada. Bertudung tapi masih melakukan maksiat. 

Ya jika dilihat itulah realiti pada masa kini. Kerana apa? Kerana sering disogokkan di media dan kaca TV mengenai pelbagai fesyen wanita bertudung yang sebenarnya ada yang tidak mengikut syariat Islam. Kerana kita sering menilai kecantikan menerusi luaran, cantik kulit, cantik solekan dan cantik pakaian. Tetapi tidak pernah sedikitpun pun menilai ketaqwaan mereka kepada Allah sedangkan aurat yang paling baik adalah pakaian TAQWA. 

Oh mendengar kata-kata Wardina ini, memang banyak benarnya. Banyak kesilapan yang kita lakukan tanpa disedari kerana kita langsung tidak mahu belajar dan cuba mempelajari  ilmu agama. Katanya lagi hidayah tidak akan datang sendiri….melainkan kita berusaha mencari. Begitu juga perubahan hidup, jika kita yang tidak mengubah siapa lagi? 

Dia juga menekankan mengenai  al-Quran yang perlu dibaca dan difahami. Jadikan sebagai sahabat yang dibawa ke mana-mana. Ini kerana itulah penyelamat dunia dan akhirat. 

Oh sekali lagi saya tersedar mengenainya, memang dalam kehidupan kita sering meninggalkan apa yang wajib dan menjadi perintah Allah. sibuk mengejar dunia sehingga terlupa akhirat di sana. Kehidupan bukan setakat kita mengikut apa yang dilakukan nenek moyang kita pada masa dulu. Kenapa kita solat? Apakah makna bacaan solat? Apakah makna ayat-ayat dalam al-Quran adakah kita mengambil tahu mengenainya.  Kurang…kurang…hanya sedikit…atau tidak ambil tahu langsung. 

Oh Tuhan banyaknya kekurangan pada diri sendiri. Saya sering bertanya jika kita tidak tahu mengapa tidak mahu belajar atau mengikuti kelas-kelas agama?  Bukankah itu semua perlu dicari bukan menunggu ia datang di hadapan diri sendiri. 

Sibuk??? Ya sering kali itulah jawapannya…setiap tahun itu juga alasannya. Tanpa disedari usia menginjak pergi. Kematian semakin menghampiri. Adakah apabila usia di hujung senja baru ingin mencari semua ilmu agama yang hakiki? Sedangkan pada usia muda inilah masa itu melengkapi diri, adakah  menunaikan solat 5 lima waktu dan membaca al-Quran sehelai dua sudah dikira Muslim dan Muslimah sejati ? Tidak…. ia lebih daripada itu, KETAQWAAN  begitu mendalam maknanya...dan ia perlu dicari. 

P/s: moga ceramah-ceramah sebegini dapat diadakan lagi pada masa depan. Sekali-sekala kita perlu disedarkan drp lena yang panjang. Wallahualam...


Saturday, April 14, 2012

Sedapnya Tutti Frutti

 Saya baru saja menjadi penggemar Tutti Fruitti,  rasanya sejak sebelum mengandung hari tuh. Itu pun masa balik asgment dan ternampak Tutti Frutti di Setapak dan terus membelinya. Sekali makan...yummy...sangat sedap dan terus nak lagi dan lagi dan lagi.


 Macam-macam pilihan perisa ada vanila, coklat, strawberi dan pilihan untuk topping kalau nak buah-buahan, kacang, kismis, coco crunch, biskut campur saja mana yang berkenan di hati. Konsepnya ambil dan pilih sendiri...kemudian timbang. Walaupun agak mahal tapi sangat berbaloi sebab bila makan mesti akan teringat-ingat kesedapannya.




 Sebenarnya tutti frutti adalah 100% yogurt jd jgn bimbang sebab ianya sangat berkhasiat dan tidak menggemukkan. Cuma jgn makan secara melampau sudah. Bukan macam ice cream ya...kalau nak lagi berkhasiat tambahlah strawberi, kismis, kiwi, anggur.  Antara kebaikannya mampu meningkatkan tahap ketahanan imunisasi tubuh, mengelakkan dari kanser kolon dan mampu mengurangkan tahap tekanan darah. 

ini saya punya....biasanya saya suka vanila kemudian tambah buah-buahan dan kacang-kacang. Tapi sayang kat Bangi ni tak ada...hanya sesetengah tempat jer ada...kat Bangsar baru jer buka rasanya. Sebab itu saya  sanggup lepas habis asgment terus ke Bangsar layan Tutti Fruitti. Tapi sekali-sekala jer bila tekak rasa nak makan.


Monday, April 2, 2012

makan di Sushi King

Minggu lepas keluar dengan kawan baik saya ke Midvalley tujuan asal mencari baju untuk function seterusnya makan di Sushi King. Mula-mulanya tak tahu nak makan apa...akhirnya pilihan adalah sushi sebab dah lama tak makan makanan Jepun.

Saya kalau datang sini tetap pilih nasi...hahaha tekak Melayukan. Ni menu saya ada salmon, ayam, ketam, sayur


 Lepas tu order tempura


Menu kawan saya..nasi berlaukkan .ayam, kentang dan telur

Kawan baik saya Aton yang sering menemani saya makan selepas waktu pejabat. Dulu masa satu pejabat saya dan dia ke hulu ke hilir makan di tempat berbeza...kalau tak makan tengah hari makan malam. Sampaikan ada yang kata kami kembar tak seiras...sungguh kami berdua sangat serasi dan saling memahami.
Kini kami di pejabat yang berbeza namun saling berhubungan setiap hari...kalau dah lama tak jumpa mesti buat temu janji makan di mana-mana yang pastinya Midvalley menjadi pilihan.  Moga persahabatan ini berpanjangan hendaknya Amin....kali nie....terima kasih ya sebab belanja saya  makan.